KATA-KATA ALUAN
PENGETUA SMK BANDAR PUTRA
SEGAMAT JOHOR
Assalamualaikum w.b.t, Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam SEBARA HEBAT.
Alhamdulillah,
bersama-sama kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah
kurnia-Nya, kita diberikan kesempatan untuk bersama-sama terus memikul amanah
dalam usaha memajukan SMK Bandar Putra pada tahun 2025/2026 ini. Buku Pengurusan
SEBARA 2025/2026 ini diterbitkan sebagai panduan dan rujukan dalam usaha kita
untuk terus mengukuhkan budaya kerja berpasukan di sekolah ini.
Kerjasama
yang kukuh antara semua warga sekolah iaitu pihak pentadbir, guru-guru, staf
sokongan, pekerja swasta, murid-murid, dan ibu bapa serta komuniti setempat
adalah kunci kejayaan dalam mencapai visi dan misi sekolah. Di SMK Bandar
Putra, kita berpegang teguh kepada prinsip bahawa kejayaan sebenar bukan hanya
terletak pada pencapaian akademik, tetapi juga pada pembinaan sahsiah,
pengembangan potensi individu, serta semangat berpasukan yang tinggi. Antara
tujuh teras utama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam menerajui Sistem
Pendidikan Negara iaitu memberi penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui
pembentukan adab, akhlak dan integriti, keciciran pendidikan serta peningkatan
keupayaan digital di sekolah perlulah disambut oleh guru-guru bagi memastikan
kita mampu merealisasikan Sekolah Berkualiti dan Kemenjadian Murid.
Dalam
mencapai matlamat sekolah, setiap individu memainkan peranan yang amat penting.
Saya percaya bahawa melalui kerjasama yang erat, perancangan yang teliti, serta
pelaksanaan yang berkesan, kita dapat mencipta suasana pembelajaran yang
kondusif dan berkualiti. Di samping itu, komitmen yang tidak berbelah bahagi
daripada semua pihak untuk memberikan yang terbaik adalah elemen yang akan
membolehkan kita mencapai kecemerlangan secara holistik.
Akhir
kata, saya berharap semoga kita dapat bekerja dengan satu arah, satu matlamat
dan satu tujuan yang sama. Dengan semangat kerjasama yang kukuh dan tekad yang
kuat, serta keikhlasan bekerja daripada seluruh warga SEBARA, saya yakin bahawa
SMK Bandar Putra akan terus menjadi sekolah yang unggul dalam menghasilkan
generasi yang cemerlang, berintegriti, dan berdaya saing.
Sekian, terima kasih.
Pengetua,
SMK Bandar Putra,
Segamat,Johor.